Friday, May 7, 2010
PENGAJARAN AL-BANNA DALAM MASALAH KHILAFIYYAH
Islam itu adalah satu, maka satukanlah hatimu dengan hatiku
Ikutilah satu kisah yang sangat menyentuh jiwa ini. Inilah sikap yang perlu ada pada setiap muslim. Berlemah-lembutlah antara satu sama lain. Usahlah berbalah tentang masalah-masalah furu' yang sudah lama diperdebatkan. Masih terlalu banyak perkara yang yang terlebih utama dalam Islam. Ummat Islam sudah mula meninggalkan ajaran Islam, keyakinan umat Islam akan pertolongan Allah sudah hilang, mengapa tidak kita fokuskan terhadap masalah-masalah ini?
Andainya nukilan aku kali ini mengundang marah atau benci, harap kita semua dapat berlapang dada, memaafkan satu sama lain. Aku hanhyalah insan faqir yang tidak punya apa2. Insan yang tidak tahu apa kesudahan hidupnya, samaada baik atau buruk. Bukan ulama, bukan alim, apatah lagi fuqaha.Ikutilah kisah ini dengan hati yang terbuka...
Al-Qaradawi ada menukilkan satu kisah yang pernah berlaku kepada al-Syahid Imam
Hasan al-Banna, pengasas gerakan Ikhwan al-Muslimin di Mesir. Ia merupakan kisah
yang cukup baik yang perlu dihayati oleh semua pendakwah yang mengakui mahu
memperjuangkan Islam terutama dalam memastikan kesatuan umat Islam.
Al-Banna mencatatkan dalam Muzakkirat nya tentang kisah beliau menyampaikan
kuliah agama ketika beliau masih berumur dua puluhan tahun. Beliau menyampaikan
kuliah tersebut antara waktu Maghrib dan Isyak di satu sudut di sebuah masjid kecil.
Setelah sekian waktu, kuliah tersebut telah mendapat perhatian dan para hadirin
yang hadir telah bertambah. Termasuk juga yang hadir adalah di kalangan mereka
yang menyimpan sikap dan pendirian lama dalam masalah khilaf dan suka
membangkitkan api perdebatan.
Sehingga pada suatu malam, al-Banna merasakan terdapat satu kelainan terhadap
hadirin yang hadir. Seolah-olah terdapat perbezaan kelompok di kalangan para
pendengar termasuk tempat duduk mereka. Pada malam tersebut, belum sempat al-
Banna hendaklah memulakan kuliahnya, tiba-tiba beliau telah diajukan satu soalan.
“Apakah pandangan ustaz tentang masalah tawassul? Maka al-Banna menjawab:
“Wahai saudaraku, aku berpandangan engkau bukan bermaksud mahu bertanya
tentang masalah ini sahaja, tetapi engkau juga mahu bertanya tentang selawat
selepas azan, membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, lafaz siyadah Rasul dalam
tasyahhud, bagaimana kedudukan ibu bapa Nabi SAW di akhirat, sampai atau tidak
bacaan al-Qur’an kepada si mati, adakah perkumpulan-perkumpulan yang dibina
oleh ahli tariqat itu maksiat atau qurbah”, dan pelbagai masalah lagi.
Al-Banna sengaja menyenaraikan semua perkara-perkara khilaf tersebut yang telah
menyalakan api fitnah sejak sekian lama sehingga membuatkan lelaki penyoal itu
tersentak. Lalu lelaki itu menjawab: “Ya, aku mahukan jawapan atas kesemua soalan
itu!”
Lalu al-Banna menjawab: “Wahai saudaraku, aku bukanlah seorang alim, tetapi aku
seorang guru bandar yang menghafaz sesetengah ayat al-Qur’an dan sesetengah
hadith Nabi dan mengetahui beberapa hukum agama setelah merujuk kepada kitab-kitab.
Lalu aku menawarkan diri untuk mengajarkan ilmu itu kepada orang ramai.
Maka sekiranya engkau bertanya kepadaku soalan yang terkeluar daripada apa yang
aku tahu maka engkau telah menyukarkan aku, sedangkan barangsiapa yang
mengatakan aku tidak tahu dia juga telah berfatwa. Sekiranya engkau merasa puas
dengan apa yang aku sampaikan, dan melihat padanya ada kebaikan, maka
dengarilah ia. Sekiranya engkau ingin mengetahui lebih lanjut maka bertanyalah
kepada para ulama yang pakar selainku. Mereka mampu memberi fatwa terhadap
apa yang kamu mahu. Adapun aku, maka inilah kadar ilmuku, sesungguhnya Allah
tidak memberatkan ke atas seseorang melainkan apa yang diusahakan”.
Itulah jawapan al-Banna kepada lelaki tersebut dan lelaki itu pada hakikatnya tidak
mendapat apa-apa jawapan daripada al-Banna. Namun dengan ucapan al-Banna itu
para hadirin atau kebanyakan mereka merasa berpuas hati. Lalu dengan
kesempatan yang ada al-Banna meneruskan ucapannya dengan berkata:
“Wahai saudara-saudaraku, aku amat mengetahui bahawa saudara yang bertanya
tadi, termasuk juga ramai di kalangan kalian, tidak bermaksud daripada soalan
seumpama itu melainkan hanya ingin mengetahui, daripada kumpulan manakah
pengajar baru ini? Adakah daripada kumpulan Syeikh Musa atau daripada kumpulan
Syeikh Abdul Sami’?! Sesungguhnya pengetahuan ini tidak memberikan apa-apa
manfaat kepada kamu, sedangkan kamu telah menghabiskan masa dalam keadaan
fitnah selama lapan tahun dan cukuplah sekadar itu. Kesemua masalah-masalah itu
telah diperselisihkan oleh umat Islam sejak ratusan tahun dan mereka masih terus
berselisih pendapat sehingga ke hari ini, namun Allah SWT redha kepada kita untuk
berkasih sayang dan bersatu padu serta membenci untuk kita berselisihan dan
berpecah-belah. Maka aku ingin mengajak kamu semua berjanji dengan Allah SWT
untuk meninggalkan semua perkara-perkara ini sekarang, dan bersungguh-sungguh
untuk mempelajari asas-asas agama dan kaedah-kaedahnya, beramal dengan
akhlaknya, kelebihan-kelebihannya yang umum dan petunjuk-petunjuknya yang
disepakati. Dan mendirikan segala kewajipan dan sunat serta meninggalkan sikap
memberat-beratkan dan terlalu rigid supaya hati menjadi suci. Dan supaya menjadi
tujuan kita semua hanya untuk mengetahui kebenaran, bukan hanya kerana sekadar
mahu memenangkan satu pandangan. Ketika itu, kita mempelajari kesemua ini
bersama dalam keadaan kasih sayang, kepercayaan, kesatuan dan keikhlasan. Aku
berharap kamu terimalah pandanganku ini dan agar ia menjadi perjanjian sesama
kita untuk berbuat demikian”
Subscribe to:
Posts (Atom)