Friday, October 16, 2009

Bila Sendiri


Bila Sendiri
Bila diri berada sendirian…
Mula mengenal Tuhan…
Tapi mungkin juga mula mengikut telunjuk syaitan…


Manusia takkan dapat hidup sendirian. Memang itulah fitrah manusia. Adam a.s. memerlukan Hawa sebagai teman hidupnya. Begitu juga manusia lain. Tapi bukan itu yang aku ingin tulis kali ni…Tapi saat bersendirian. Saat dimana kita berada berseorangan. Saat dimana kita merasakan bahawa kita tidak dapat dilihat oleh sesiapapun. Saat hati mula mengarah kearah kebaikan ataupun kejahatan..Padahal kita lupa bahawa kita sedang dilihat oleh Allah s.w.t setiapa masa dan tempat.

Teringat satu kisah seorang guru silat dengan tiga orang anak muridnya. Satu hari, si guru ingin memilih salah seorang antara tiga orang muridnya yang akan menggantikannya setelah dia tiada. Si guru memberi seekor ayam kepada setiap muridnya dan menyuruh mereka menyembelih ayam itu di tempat dimana tiada siapapun yang melihat mereka. Maka pergilah ketiga-tiga orang murid tadi untuk mencari tempat yang tidak mampu dilihat oleh sesiapapun. Seorang pergi ke hutan dan menyembelih ayam yang diberikan. Seorang lagi pula mencari sebuah rumah kosong yang telah tidak berpenghuni dan setelah dia memastikan tiada siapapun yang melihatnya, dia tanpa ragu menyembelih ayam yang diberikan.



Seorang lagi murid masih tercari-cari dimanakah dia patut menyembelih ayam yang diberikan kepadanya. Dia pergi ke hutan, tapi dia masih merasakan dia sedang dilihat. Kemudian dia pergi ke sebuah perigi buta dan masuk ke dalamnya, tapi dia masih tidak mampu menyembelih ayamnya kerana dia merasakan dia sedang diperhatikan. Setelah penat mencari tempat, dia mengambil keputusan untuk pulang bertemu gurunya walaupun dia dimarahi kerana tidak berjaya menyembelih ayam yang diberikan oleh gurunya.

Setelah pulang, dia melihat dua rakan seperguruannya tersenyum dan kelihatan gembira. Dia dapat mengagak bahawa rakannya dapat menyempurnakan tugas yang diamanahkan kepada mereka dengan baik. Gurunya marah kerana dia tidak menyembelih ayamnya.

“ Kenapa kamu tak buat seperti yang Tok perintahkan?” Gurunya bertanya dengan nada marah.

“ Saya tidak berjaya menemui satu tempat pun yang tiada siapa boleh melihat saya Tok. Setiap masa dan setiap tempat saya rasa saya diperhatikan. Dan tidak ada satu tempat pun dimana Allah tidak melihat saya.”

Mendengar jawapan anak muridnya tadi, si guru mula tersenyum dan berkata;

“ Kamulah yang layak menggantikan tempat Tok nanti. Sesungguhnya tiada satu tempat pun di ala mini yang Allah s.w.t. tidak melihat. Allah s.w.t. itu Maha Melihat, walaupun kamu pada masa itu berada sendirian. Dan Allah mengetahui setiap hati kamu. Sama ada berniat baik atau jahat.”

Mendengar gurunya berkata demikian, dua orang anak muridnya terus tunduk dan diam. Mereka sedar mereka telah terlepas peluang untuk menggantikan tempat gurunya…

Begitulah dalam hidup kita, kita takkan dapat lari daripada pengawasan Allah. Sebab itulah beringat-ingat bila kita sendirian. Nafsu dan syaitan akan mula menghasut kita untuk melakukan perkara mungkar…Moga kita terhindar daripadanya…

End Credit…
Keredhaan
15/10/2009
Bersendirian di Wallace Library,RIT

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...