Analogi. Setiap bahasa di dunia mempunyai analogi. Analogi digunakan untuk menggambarkan sesuatu, juga digunakan untuk menjelaskan sesuatu. Begitu juga dalam Dakwah. Kemahiran analogi sangat penting. Analogi memudahkan sesuatu penyampaian isi dan memberikan penerangan secara jelas tentang sesuatu, khususnya perkara yang berkaitan Islam. Artikel saya sebelum ini yang bertajuk kisah cawan juga menggunakan kemahiran analogi.
Analogi mencetuskan kita untuk berfikir secara mendalam, menghayati sesuatu dan mencari kebenaran di sebalik sesuatu itu. Oleh sebab itulah teknik ini antara teknik yang paling berkesan dalam menyampaikan dakwah.
Saya bagi beberapa contoh analogi yang biasa kita dengar:
1. Seorang non-muslim bertanya: “ Kamu menyembah tuhan kamu, tetapi kamu tidak boleh melihatnya. Jadi mengapa kamu menyembah sesuatu yang kamu tidak dapat lihat?”
2. Seorang Islam yang miskin, dan berasa hidupnya tidak adil berkata: “ Allah itu tidak adil, mengapa Allah menjadikan aku miskin padahal orang lain hidup bermewah-mewahan dan kaya-raya?”
Ini adalah dua contoh soalan yang biasa saya dengar biasa dipersoalkan. Dalam menjawab soalan-soalan seperti ini, kemahiran analogi boleh digunakan. Tapi fikirkan analogi terbaik yang dapat difahami mesejnya oleh mereka yang bertanya.
Mengapa kita menyembah Allah sedangkan kita tidak boleh melihatNya? Di sini kita boleh menggunakan kemahiran analogi. Setiap manusia mempunyai akal. Tetapi adakah kita dapat melihat akal kita tanpa kita menggunakan bantuan orang lain? (Maksud saya tanpa pembedahan dan yang sama waktu dengannya). Tentunya kita tak mampu melihatnya. Tapi kita dapat merasainya bukan? Analogi lain yang boleh kita ambil ialah perasaan. Perasaan itu wujud daripada hati kita. Kita tahu di mana hati kita, tapi kita tidak tahu di mana perasaan kita. Tapi kita boleh merasainya bukan? Begitu juga dengan Allah. Kita tidak dapat melihatNYa, tapi kita dapat merasai dan melihat tanda-tanda kebesaran Allah.
Itu salah satu contoh daripada beribu-ribu contoh. Tentang soalan yang kedua, kita juga boleh menggunakan teknik analogi, tapi dengan penggunaan yang agak berbeza sedikit. Apabila kita ditanya orang, cuba kita mencipta satu soalan dan bertanya balik kepada orang yang bertanya. Ini bukan bermaksud kita mahu menukar topik, tapi kita hanya mahu membuat orang yang bertanya berfikir sejenak.
Contohnya soalan yang kedua. Adakah Allah itu tidak adil kepada hambaNya? Kita bertanya balik dan mencipta satu situasi:
“ Kalau semua orang di dunia ni ada duit sebanyak 10 juta, siapakah yang akan menanam padi dan membuat bangunan?”
Orang yang bertanya itu mungkin menjawab: “ Senang je. Kita upah la orang lain. Suruh dia tanam padi. Pastu kita bayar la kat dia.”
Masalah sekarang ialah semua orang mempunyai kekayaan yang sama. Kalau si Ali menyuruh Pak Mat menanam padi, Pak Mat tidak mungkin ingin melakukan kerja yang berat. Pak Mat bukannya miskin. Dia pun ada duit sebanyak 10 juta. Jadi, kalau keadaan ini berterusan, siapakah yang akan memenuhi segala keperluan manusia di muka bumi? Semua orang mempunyai kekayaan yang sama, toada siapa pun yang miskin.
Allah itu Maha Adil. Allah menciptakan manusia sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri. Yang kaya perlu embantu yang miskin, bukannya menghabiskan kekayaan yang diberi Allah hanya untuk kemewahan hidup mereka. Sebab itu adanya zakat dalam Islam.
Terdapat banyak lagi contoh analogi lain yang boleh kita gunakan semasa berdakwah. Saya memang amat suka ustaz menjawab soalan dengan menggunakan kaedah ini. Selepas itu barulah ustaz akan menghuraikan jawapan dengan menggunakan dalil daripada Al-Quran dan Hadith.
Gambar hiasan: Istama Kesultanan Melayu Melaka
Saya suka menggunakan analogi “membina istana” apabila bercakap tentang bagaimana kita ingin mengembalikan Islam ke zaman kegemilangannya. Islam itu tidak akan dapat menguasai dunia sekiranya kita tidak mengikut flow seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Untuk membina sebuah istana yang besar dan indah, asas binaannya adalah batu-bata, simen dan tiang. Jika asasnya kukuh, maka kukuhlah istana itu. Tapi jika asasnya rapuh, istana akan runtuh dan cepat rosak. Begitu juga dengan umat Islam. Asas kita adalah iman. Jika mantap iman umat Islam, maka Islam akan kembali mencapai zaman kegemilangannya seperti dulu.
Jadi, pelbagaikan teknik dakwah kita. Saya pun masih lemah dan masih perlu pelbagai pendedahan. Dakwah itu lebih berkesan jika kita punya ilmu dan pandai menjawab soalan yang ditanya. Tapi kita harus akui bahawa kita sebagai manusia hanya mampu berusaha, yang member hidayah kepada seseorang itu hanya Allah s.w.t. Tapi dakwah yang paling berkesan adalah seperti mana cara Rasulullah s.a.w.
End Credit….Keredhaan
12.37 a.m. 4 April 2009
No comments:
Post a Comment