Tuesday, June 2, 2009
Dimensi Waktu Yang Kosong
Minggu ini tiada kelas. Masa terlalu kosong sehingga menimbulkan rasa bosan. Bosan itu mengundang maksiat jika tidak diisi dengan perkara berfaedah. Ramai rakan yang pulang ke kampung dan balik ke rumah masing-masing. Masa yang tidak diisi mengundang bahaya, juga mengundang maksiat. Maksiat yang dilakukan ada kalanya tidak kita sedari, dan lama-kelamaan ia beransur-ansur menjadi kebiasaan.
Masa itu setajam pedang, jika kamu tidak memotongnya ia akan memotong kamu!
Hujung minggu lepas memang terisi dengan banyak aktiviti berfaedah. Hari Sabtu aku sempat ke Seminar Krisis Murtad yang diadakan di Masjid Negeri Selangor. Tiga aktiviti bertembung pada waktu yang sama. Pertama menziarahi rumah arwah rakan yang baru meninggal dunia minggu lepas (semoga Allah merahmatinya), kedua, menghadiri program follow up FCR, dan ketiga menghadiri seminar krisis murtad. Sebagai manusia, hanya satu benda yang boleh dilakukan dalam satu masa. Dan aku memilih untuk ke seminar krisis murtad walaupun hati ingin benar untuk pergi ke program follow up FCR. Pembentangan kali ini lebih detail dan lebih berisi berkenaan Christianity. Tapi Allah menentukan aku untuk ke seminar tersebut. Alhamdulillah, banyak ilmu yang dapat diperoleh. Pembentang kertas kerja juga terdiri daripada mereka yang pakar dalam ilmu perbandingan agama. Dr. Riduan Tee Abdullah, Ust Nicholas Sylvester, Ustaz Fitri Abdullah dan lain-lain ulama daripada Persatuan Ulama Malaysia (PUM).
Aktiviti yang bertembung itu sebenarnya rahmat dari Allah s.w.t. Supaya masa kita terisi dengan bermanfaat dan tidak disia-siakan.
Dimensi waktu yang kosong memudahkan nafsu dan syaitan bekerja menggoda manusia. Aku memang tidak terkecuali. Waktu dihabiskan dengan sia-sia padahal buku-buku di rak besi banyak lagi yang belum dikhatamkan. Apatah lagi hasrat hati untuk membelek dan mengkaji Al-Quran.Buku-buku yang berbentuk pdf di dalam laptop masih banyak yang belum terusik. Astaghfirullah! Sungguh aku seorang hamba yang lupa pada Rabbnya!
Melihat kembali ilmuan-ilmuan Islam terdahulu, mereka sangat mencintai ilmu. Ilmu tidak mencari mereka, tetapi mereka sanggup bermusafir bertahun-tahun semata-mata kerana mencari ilmu. Tpi aku?
Semoga kita semua berada dalam rahmat Allah s.w.t
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment