Mempengaruhi suasana atau dipengaruhi oleh suasana persekitaran?
Tanya diri kita masing-masing. Ramai daripada kita mudah dipengaruhi suasana dan rakan-rakan. Kalau dapat rakan yang baik memang Alhamdulillah, tapi kalau rakan yang kurang baik maka kita juga akan turut terkesan dengan suasana. Tak ramai yang mampu bertahan tatkala bergaul dengan rakan yang bukannya tidak baik, tapi kurang faham akan agamanya sendiri. Kefahaman dalam agama itu bukan hanya pada ilmunya, tapi kefahaman dalam agama itu lebih kepada ketaatan dan kepatuhan terhadap Rabb kita. Sejauh mana seseorang itu faham tugasnya diciptakan di muka bumi. Jadi kefahaman dalam agama itu bukan hanya diukur pada kemampuannya dalam ilmu agama, tapi ia lebih kepada ketaatan kepada Allah s.w.t.
Suasana persekitaran dan rakan memang banyak mempengaruhi aku. Suasana rakan yang sentiasa menyokong dan sama-sama mendokong fikrah yang sama iaitu Islam. Alhamdulillah kerana Allah s.w.t. masih sayangkan aku. Ramai rakan lain yang telah tersungkur, walaupun mereka dulu dididik di sekolah agama. Mudah-mudahan Allah memberi hidayah kembali kepada mereka supaya kembali ke jalanNya.
Namun suasana juga mempengaruhi aku ke arah kelalaian. Beza itu mula terasa bila aku bergaul dengan bermacam jenis manusia. Lain manusia lain perangainya. Aku kadangkala terikut-ikut dengan mereka walaupun prinsip asal masih dipegang. Namun diri aku turut terkesan dengan suasana. Suasana yang melalaikan.
Jadilah seperti seekor ikan air masin, walaupun berada di laut yang masin airnya, namun isinya tidak masin. Apabila dinaikkan ke darat, kita perlu meletakkan garam yang boleh diperbuat dari air laut itu sendiri untuk memasinkannya. Ikan tidak dipengaruhi oleh suasana, tapi ia tetap mengekalkan prinsipnya. Sama juga dengan kita, prinsip itu perlu dipegang dengan kukuh, walaupun kita dikelilingi suasana manusia yang berada dalam jahiliyyah.
Nabi s.a.w bersabda: “ Islam itu bermula dengan asing, dan ia akan kembali asing. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu. “
Junjung tinggilah Islam walau di mana pun kita berada kerana “ Islam itu tinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi darinya. ”
Mempengaruhi Atau Dipengaruhi? Tepuk dada, tanya diri masing-masing. Moga kita semua berada dalam rahmat Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment