Friday, May 15, 2009

Mempengaruhi Atau Dipengaruhi?

Mempengaruhi suasana atau dipengaruhi oleh suasana persekitaran?
Tanya diri kita masing-masing. Ramai daripada kita mudah dipengaruhi suasana dan rakan-rakan. Kalau dapat rakan yang baik memang Alhamdulillah, tapi kalau rakan yang kurang baik maka kita juga akan turut terkesan dengan suasana. Tak ramai yang mampu bertahan tatkala bergaul dengan rakan yang bukannya tidak baik, tapi kurang faham akan agamanya sendiri. Kefahaman dalam agama itu bukan hanya pada ilmunya, tapi kefahaman dalam agama itu lebih kepada ketaatan dan kepatuhan terhadap Rabb kita. Sejauh mana seseorang itu faham tugasnya diciptakan di muka bumi. Jadi kefahaman dalam agama itu bukan hanya diukur pada kemampuannya dalam ilmu agama, tapi ia lebih kepada ketaatan kepada Allah s.w.t.

Suasana persekitaran dan rakan memang banyak mempengaruhi aku. Suasana rakan yang sentiasa menyokong dan sama-sama mendokong fikrah yang sama iaitu Islam. Alhamdulillah kerana Allah s.w.t. masih sayangkan aku. Ramai rakan lain yang telah tersungkur, walaupun mereka dulu dididik di sekolah agama. Mudah-mudahan Allah memberi hidayah kembali kepada mereka supaya kembali ke jalanNya.

Namun suasana juga mempengaruhi aku ke arah kelalaian. Beza itu mula terasa bila aku bergaul dengan bermacam jenis manusia. Lain manusia lain perangainya. Aku kadangkala terikut-ikut dengan mereka walaupun prinsip asal masih dipegang. Namun diri aku turut terkesan dengan suasana. Suasana yang melalaikan.

Jadilah seperti seekor ikan air masin, walaupun berada di laut yang masin airnya, namun isinya tidak masin. Apabila dinaikkan ke darat, kita perlu meletakkan garam yang boleh diperbuat dari air laut itu sendiri untuk memasinkannya. Ikan tidak dipengaruhi oleh suasana, tapi ia tetap mengekalkan prinsipnya. Sama juga dengan kita, prinsip itu perlu dipegang dengan kukuh, walaupun kita dikelilingi suasana manusia yang berada dalam jahiliyyah.

Nabi s.a.w bersabda: “ Islam itu bermula dengan asing, dan ia akan kembali asing. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu. “

Junjung tinggilah Islam walau di mana pun kita berada kerana “ Islam itu tinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi darinya. ”

Mempengaruhi Atau Dipengaruhi? Tepuk dada, tanya diri masing-masing. Moga kita semua berada dalam rahmat Allah s.w.t.

Tuesday, May 12, 2009

Coretan Dari Kampung

Assalamualaikum..lama sudah tidak menulis. Bukan sibuk tapi tak pasti apa yang patut ditulis. Minggu lepas sempat pulang ke kampung seminggu..Dah lama tak balik rumah. Lepas cuti Chinese new year hari tu memang tak balik sampai la minggu lepas. Alhamdulillah, pulang ke rumah tidak sia-sia. Matlamat asal tercapai walaupun tidak sepenuhnya. Menghidupkan taa’lim di rumah dan membaca kisah-kisah Nabi dan para sahabat. Walaupun belum berjaya lagi mengajak ayah menunaikan solat di masjid, aku sudah cukup berpuas hati. Sifat keterbukaan ayahanda dan bonda amat aku hargai. Tiada apa yang dapat aku hadiahkan pada ayah, kecuali bimbingan sahaja.

Bermula dengan membaca kitab Fadhail Amal selepas maghrib setiap hari. Mudah-mudahan keluarga kita dapat menghidupkan sunnah Nabi s.a.w. dan lebih berusaha untuk ghairah dalam ibadah. Sudah lama aku impikan detik dan saat ini. Keluarga aku tidak dilahirkan dalam keluarga yang tinggi ilmu agamanya. Jadi ini pun sudah amat menggembirakan aku.

Dua buah buku aku hadiahkan buat ayah. Fadhilat Amal dan Fadhilat Haji & Umrah. Itu sahaja yang aku mampu buat setakat ini. Juga sebuah buku kecil tentang kehidupan di alam kubur. Buku Malam Pertama di Alam Kubur karangan Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni itu memang aku suka dan sayang, tapi ayah menyuruhku untuk memberi buku tersebut kepadanya. Aku suka melihat perubahannya selepas membaca buku tersebut. Pagi esoknya dia bangun bertahajjud. Mungkin ini penangan buku tersebut.

Cuti yang tidak sampai seminggu itu memang memberi makna. Adik perempuan aku yang sedikit keras kepala dan degil mula berminat dengan Al-Quran setelah aku bercerita kepadanya tentang kisah Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis yang dinukilkan dalam Al-Quran. Aku mula mengayat adikku sendiri selepas dia menyatakan minat untuk memiliki Al-Quran tafsir sendiri. “ Rupanya dia suka tentang cerita ”. Hati kecil aku berbicara.

Cuti yang tidak sampai seminggu itu aku juga sempat ke sekolah lama. Tujuan cuma satu, untuk berjumpa dengan Ustaz Ibrahim dan berbincang tentang tamrin nuqaba’ yang akan diadakan jun ini. Negeri Kelantan seperti sudah lupa asal-usulnya. Sudah hilang gelaran serambi Makkah. Anak-anak muda Kelantan tidak seperti dulu. Jauh berbeza. Sudah lupa pada agama dan maksud hidup.

Mudah-mudahan Allah mengembalikan Kelantan ke zaman kegemilangannya seperti dulu. Dan mudah-mudahan Allah merahmati aku dan kita semua.

End Credit….

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...