Sunday, June 14, 2009

20 Tahun Yang Sia-Sia

Assalamualaikum…sabtu lepas genap umur aku 20 tahun. Tiada apa yang perlu disambut. Tiada apa yang perlu dibanggakan. Hidup di dunia ini memang sekejap sahaja..Hari demi hari, bulan berganti bulan, tahun bersilih tahun. Ramai manusia yang bergembira apabila tibanya hari lahir mereka. Meraikan dengan penuh kemeriahan, tapi mereka lupa usia mereka semakin hari semakin suntuk untuk menemui Allah s.w.t.
20 tahun yang diisi dengan sia-sia, dengan dosa dan maksiat. Islah yang dilakukan untuk diri hanyalah teramat sedikit. Dakwah yang dilakukan hanyalah sekadar melepaskan bato’ di tangga. Dibuat tidak mengikut sunnah Nabi s.a.w. Waktu dihabiskan dengan aktiviti tidak berfaedah. Ah, tiada gunanya mengungkit kembali perkara silam! Yang berlalu itu harus dijadikan pengajaran dan sempadan. Yang penting mulapan semula kehidupan!

Ibarat Ismeth Ulam Raja

“ Mati itu pasti, sejauh manapun kamu lari, ia tetap akan dapat mengejar kamu…”

Dalam cerita Tiga Abdul, ayah kepada abdul wahab, wahub, dan wahid telah meninggal dunia semasa menyambut ulang tahun kelahirannya. Ulang tahun kelahiran yang disambut dengan penuh meriah bertukar menjadi dukacita dan tragedi sekelip mata. Begitulah manusia. Manusia hanya mampu merancang tapi hakikatnya Allahlah yang menentukannya sesuatu itu. Begitulah manusia. Tanpa Allah manusia tiada apa yang boleh dibanggakan. Semuanya datang dari Allah, dan kepada Allah jualah kita semua akan kembali.

“ Sesungguhnya setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati. ”


Namun yang hidup itu harus berbakti


Menilai kembali 20 tahun aku hidup di dunia, tiada apa jasa untuk Islam yang besar. Sultan Muhammad Al-Fateh ketika umurnya 20 tahun sudah berjaya menakluk Constantinople bersama para angkatan tenteranya. Empayar Rom Timur yang ampuh itu berjaya ditembusi berbekalkan iman kepada Allah yang amiq dan strategi yang tersusun. Semua itu tidak akan terhasil tanpa bantuan Allah s.w.t. Dalam usia semuda itu beliau sudah mencipta sejarah yang menggegarkan dunia hingga sampai sekarang ia dikenang.


Harun Yahya atau nama sebenarnya Adnan Okhtar, seorang pemikir dan penulis yang terkenal dengan penentangannya terhadap teori evolusi ciptaan Charles Darwin, mula membuat kajian dan menyebarkan pemikiran bermula semenjak beliau memasuki Universiti Mimar Sinan lagi. Atau dalam kata lain sekitar umurnya 20-an. Hasil pemikiran dan keyakinan bahawa Allahlah yang berkuasa atas segala sesuatu dan Allahlah yang menciptakan, beliau berjaya mempengaruhi ramai anak muda ketika itu. Walaupun pelbagai dugaan dan halangan terpaksa diterima contohnya tentangan dari gerakan Freemason yang merasakan kegiatan mereka selama ini diancam dengan pembongkaran kegiatan mereka, beliau tetap tekad dan meneruskan misi menyebarkan Islam melalui penulisan, perdebatan saintifik dan pelabagai cara lagi. Akhirnya beliau berjaya menubuhkan Science Research Foundation untuk meneruskan kajian mengenai sains dan Islam.


Dan hasilnya, hari ini ramai saintis bukan Islam yang menentang teori evolusi…
Hebat. Itulah wajah-wajah mereka yang telah berjaya mencipta kejayaan untuk Islam pada usia yang muda. Sesungguhnya kemuliaan seseorang itu terletak hanya pada Allah, seperti mana firman Allah dalam surah Al-Munafiqun:8;

“ Dan kemuliaan itu hanyalah bagi Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang beriman.”

Bagi yang masih muda, teruskan berusaha dengan sehabis mungkin kerana inilah matlamat hidup kita. Sama-sama kita mengislah diri dan berusaha kea rah yang lebih baik.

End Credit…

Friday, June 5, 2009

Berdakwah Melalui Facebook


Ini bukan satu paksaan, bukan pula satu kempen besar-besaran. Tapi hanya satu cadangan kepada mereka yang merasakan dakwah itu satu kewajiban. Jika anda memilih pandangan dakwah itu bukan kerja anda, dan hanya kerja golongan agamawan dan pegawai yang berkerja di jabatan-jabatan agama. Anda boleh terus membaca kesimpulan artikel ini.

Konspirasi Facebook?


Sebelum berbicara soal dakwah, berita perihal semua medium jaringan sosial sebagai salah satu agenda atau konspirasi Amerika Syarikat dan C.I.A. (Central Intelligence Agency) sudah menular dalam alam maya ini. Entah mengapa dahulu ketika rancak anak muda menggunakan jaringan sosial seperti Friendster, Myspace, Multiply, Tagged dan sebagainya, tidak pula isu sebegini timbul. Tetapi apabila ada produk baru timbul yang menggegarkan keuntungan dan kepopularan produk sedia ada, maka timbul pula cerita ini. Barangkali mereka yang turut ketakutan dalam hal ini lupa bahawa kesemua produk ini sedang berlumba dalam dunia perniagaan. Apa tidaknya jika Mark Zuckerbergv pada usia 23 tahun mampu meraih USD1..5 billion dengan produk terbarunya dan disenaraikan sebagai salah seorang The World's Most Influential People of 2008.

Ingin tahu apa yang dimomok-momokkan?

Kata ‘si dia’:
Segala maklumat yang anda letakkan akan dihantar terus kepada pihak C.I.A.? Jika dilihat profilnya sangat spesifik sehinggakan ada ruang untuk alamat, telefon bimbit dan sebagainya. Dengan ini, pihak C.I.A. boleh mengakses maklumat kita tanpa perlu bertanya kepada orang ramai kerana maklumat kita semuanya di hujung jari mereka.

Kemudian apa pula yang ditakutkan ‘si dia’?

Yang menjadi mangsa sudah tentulah golongan bijak pandai bertaraf profesional seperti golongan berpendidikan Ph.D, profesor dan sebagainya. Andai kata mereka mahu menyerang Malaysia, sudah tentulah rumah mereka dibom dahulu kerana segala maklumat di tangan mereka.

Apakah ini nasib yang akan dihadapi oleh para pensyarah universiti dan bijak pandai yang menggunakan produk terbaru ini? Penulis tetap menghormati mereka yang ingin berpendapat sedemikian. Cuma sahaja mengapa tidak pula difikirkan bahawa selagi mana anda mampu melayari internet dan menggunakan apa jua 'device' atau teknologi. Bukankah anda sebenarnya secara tidak lansung mampu dikesan dengan mudah bersama-sama dengan maklumat peribadi anda? (Rujuk keratan polisi blogspot, streamyx dan sebagainya di bawah seksyen ‘Privacy Policy’)

Barangkali hal ini mungkin berdasarkan pengetahuan mendalam mereka berkenaan kelompok Konspirasi (The Luciferian Conspiration, kelompok yang mengendalikan A.S. dan juga dunia), atau terpengaruh dengan cerita fiksyen Dan Brown "The Digital Fortress", ataupun buku "The Complex: Bagaimana Militer Amerika Menyerbu Kehidupan Kita Sehari-Hari", malah tonton juga filem Mel Gibson "The Conspiracy Theory".
Akhirnya tindak tanduk mereka seolah-olah seperti golongan The Combatant yang menganggap diri mereka sedang berperang dengan The New World Order atau The Globalization. Mereka (The Combatant) ini mempunyai perspektif bahawa adalah haram dan berbahaya untuk berurusan dengan bank (hidup tanpa akaun bank, kad kredit, kad debit dan sebagainya), tidak boleh mengakses internet, dan juga tidak mempunyai telefon bimbit kerana kekhuatiran diri mereka daripada dijejaki oleh kelompok konspirasi ini. Dalam erti kata lain, jika benar-benar dikhuatiri sesiapa tahu di mana anda tinggal, sila berhenti daripada menggunakan internet, dan pindah ke gua-gua berdekatan.

ATAU

Memanipulasi Jaringan Sosial

Anda boleh sahaja memilih untuk memanipulasikan medium ini sebagai medan dakwah yang mampu menyampaikan risalah Islam seperti mana golongan agama lain (Contoh: Evangelism) melakukannya. Tidak dapat kita ragukan lagi, bahawa setiap sarana yang boleh digunakan untuk berdakwah, maka kaum muslimin harus menggunakannya sebaik mungkin. Pada waktu dahulu, sarana dakwah hanya terbatas kepada ceramah, buku dan diskusi antara pendakwah (da’i) dan yang didakwahi (mad’u), serta halaqah-halaqah ilmiah. Tetapi kini internet adalah sarana yang sangat berkesan. Selaras dengan saranan ini adalah fatwa Syaikh Abdullah bin Abdurrahman Al-Jibrin ketika ditanya apakah bolehkah kita menggunakan internet?

Syaikh Abdullah bin Abdurrahman Al-Jibrin menjawab bahawasanya: “Para ahli ilmu dan para da’i perlu menempuh jalur ini untuk menyebarkan majalah-majalah dan ceramah-ceramah yang bermanfaat yang benar agar mampu ianya dimanfaatkan oleh orang-orang yang menghendaki kebaikan, mengharapkan ilmu dan melaksanakannya, kerana internet telah ada dan hadir di negeri ini, maka jangan dibiarkan digunakan oleh kaum Nasrani, Yahudi, kaum musyrikin, para ahli bid’ah, para ahli maksiat dan ahli kemunafikan untuk menyebarkan pemikiran-pemikiran mereka sehingga mengelabui orang-orang yang melawat laman-laman mereka lalu berbaik sangka terhadap mereka, meyakini saranan mereka dan kebenaran hujah mereka.” [Buku Al-Fatawa Asy-Syara'iyyah Fi Al-Masail Al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad Al-Haram, edisi Indonesia Fatwa-Fatwa Terkini-2, halaman 287-288 Darul Haq]

Daripada fatwa di atas jelas bahawa segala medium yang wajar harus diguna pakai untuk tujuan dakwah. Hal ini adalah untuk menerangkan Islam yang tulen seperti mana yang difahami oleh para al-salaf as-soleh yang diiktiraf Rasulullah Sallahu'alaihi Wa Sallam. Jika tidak medium ini akan dimanipulasi oleh ahli bid'ah, ahli maksiat dan penentang Islam.(Jangan kelak baru hendak terngadah bila telah wujud mereka yang menghalalkan zikir dalam posisi berjoget, atau Evangelism yang menggunakan Bible bertajuk Al-Kitab mengajak muda mudi terpengaruh dengan kitab versi bahasa Melayu tersebut). Masa itu di mana kita yang bangga dengan Islam sebagai 'deen' yakni cara hidup yang sempurna? Hanya milik kita atau wajar dikongsikan kepada mereka di luar sana?

Idea ini bukan idea baru, ianya tidak dinafikan telah wujud sekian lama sejak adanya produk Friendster, Myspace, Multiply, Tagged dan sebagainya. Namakan saja! Asalnya Mark Zuckerbergv mencipta Facebook ini adalah untuk rakan-rakan sosial di universiti, tetapi kini lebih 200 juta mendaftar dalam Facebook seluruh dunia. Ia menjadi satu fenomena sehingga dilihat melibatkan tokoh-tokoh tersohor, bijak pandai dan cendiakawan yakni para pensyarah universiti dan sebagainya. Hal ini dilihat sebagai satu perkembangan yang positif yang boleh dimanipulasikan untuk menyampaikan risalah Islam.


Artikel ini sengaja mengfokuskan kepada Facebook tidak bermaksud menafikan keberkesanan penggunaan laman web, blog dan sebagainya. Tetapi fokus artikel ini adalah merujuk kepada Facebook kerana aplikasi-aplikasi yang ada padanya yang kurang didapati dalam medium-medium lain. Tidak mustahil jika kelak ada fungsi tambahan terhasil dari inovasi terkini daripada produk yang sama atau produk lain, bolehlah digunakan ia dengan matlamat dakwah yang sama.

"Sungguh, bila Allah memberi petunjuk kepada seseorang melalui perantara kamu maka itu lebih baik bagi kamu dari pada unta merah." [Hadith diriwayatkan oleh Bukhari no. 3498, Muslim no. 2406, dan Ahmad no. 22872].

Memanipulasi Aplikasi Facebook

Bagaimana cara-caranya? (Sekadar mencadangkan perkara-perkara asas)

1. Semestinya anda dikehendaki mempunyai akaun Facebook. Letakkan maklumat diri anda sekadar yang perlu. Elak daripada mendedahkan kesemua butir-butir peribadi (Contoh sehinggakan nombor pin kod bank anda?). Hal ini adalah kerana kejujuran sangat penting dalam seni berdakwah!(Elak daripada ‘menggoreng’ sesuatu yang anda tidak tahu)

2. Muat naik (upload) gambar anda sebagai identiti diri.(Anda tidak perlukan gambar berjubah dan berserban lilit 10 hasta untuk menunjukkkan anda seorang pendakwah tegar!). Awasi gambar anda supaya tiada gambar yang melihatkan aurat dimuat naik. Dan hindarkanlah aksi- aksi yang hanya akan menyumbang kepada kerosakan jiwa masyarakat. Hal ini adalah kerana daripada gambar-gambar yang dimuat naik, kita dapat lihat ada yang semakin dekat dengan fitrah, tetapi tidak kurang juga yang memaparkan kejauhan daripada fitrah. (Pesanan ikhlas buat diri penulis dan para pembaca).

3. Kemudian gunakan kolum pencarian dan taip nama kawan-kawan anda. Baik muslim apatah lagi yang bukan muslim. Boleh juga mensasarkan beberapa golongan mad’u, tetapi tidak wajar terlalu memilih mad’u. Islah dan dakwah wajar bergerak seiringan.

4. Terutamanya pada mereka yang mempunyai kenalan berbangsa lain ketika waktu di sekolah rendah, menengah, asrama dan sebagainya, anda semestinya tidak berpeluang untuk berdakwah kepada mereka tatkala di awal perkenalan atas faktor kekurangan ilmu, sumber dan sebagainya. Kini setelah lama tidak berhubung, manfaatkan peluang ini untuk merapatkan hubungan dengan mereka. Keunikan facebook ialah majoriti penggunanya menggunakan nama sebenar (Pastikan anda juga mengunkan nama sebenar agar mudah rakan-rakan menjejaki anda), ini akan lebih memudahkan usaha pencarian anda. Jalinkan hubungan anda dengan mereka melalui jaringan aplikasi sedia ada. Kadang–kala daripada gambar-gambar yang dikongsikan, tertera nama-nama yang anda pernah kenali.

5. Setelah itu, kenali madu’ anda (penulis tidak bermaksud menggolongkan mereka seperti contoh si A ahli maksiat, si B kafir dan sebagainya kerana ini dikhuatiri mampu menjerumuskan kita ke arah prasangka negatif). Daripada perkenalan dengan mereka, sudah cukup baik jika kita mampu mengetahui minat atau kecenderungan mereka dan peluang yang boleh digarap dalam usaha dakwah kelak.

6. Langkah utama dalam proses dakwah ini sebagai contoh ialah:

(a) Jemput (invite) mereka menyertai group-group seperti ‘What is Islam’.(Ada lebih 500 group ttg ‘What is Islam’) atau dapatkan sokongan-sokongan mereka dariapda kumpulan-kumpulan seperti ‘Let's collect 1.000.000 signatures to support the Palestinians in Gaza’
(Cadangan: Menyentuh emosi dan manipulasi perasaan bukan Muslim dengan memberi kesedaran kepada mereka tentang khabar berita semasa seperti kematian kanak-kanak di Gaza dan kekejaman Zionis)

(b) Berkongsi (muat naik/upload) video-video berkenaan Islam atau apa sahaja berkait dengan sains atau kemanusiaan yang akhirnya kembali kepada keEsaan Allah.
(Cadangan: Video tokoh-tokoh cadangan dalam perbandingan agama: Dr. Zakir Naik, Ahmad Deedat, Yusof Estes dan lain-lain)

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal shaleh, dan berkata, 'Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri'." [Fushilat 41:33].

(c) Menggunakan aplikasi ‘notes’ untuk menghantar catatan-catatan menarik dan ‘tag’ mereka supaya mereka dapat membacanya.
(Cadangan: Tidak perlu letak keseluruhan artikel atau pernyataan untuk mengelak mereka bosan membaca font tulisan dalam aplikasi nota, cukup sekadar letak pernyataan yang menarik perhatian mereka dan sertakan ‘link’ laman web tersebut jika mereka berminat untuk membaca seterusnya)

(d) Cipta kumpulan sendiri dan jemput (invite) rakan-rakan lain untuk menyertainya. Adakan diskusi ilmiah tentang sesuatu topic yang bermanfaat. Jaga adab-adab bertutur supaya mad’u tidak menjauhkan diri mereka daripada anda.
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” [Surah An-Nahl 16:125]

(e) Gunakan aplikasi ‘What's on your mind?’ untuk mengetengahkan ayat-ayat Quran dan hadis sahih yang menggambarkan kecantikan ‘deen’ Islam.

(f) Elakkan daripada menjatuhkan kredibiliti anda sebagai seorang pendakwah apatah lagi sebagai seorang muslim dengan bermain kuiz-kuiz yang tidak mendatangkan faedah. Contoh: Kuiz “Tatoo:Should I Have one?” atau Kuiz: “What is the best Sex position that will suit me?” atau apa jua kuiz yang berkaitan dengan nasib anda di masa hadapan baik ianya berkisar jodoh, horoskop dan hal ehwal pada masa hadapan! (Tukang tilik zaman moden kini dalam bentuk kuiz?). Perkara ini realitinya berlaku dan keputusan kuiz tersebut akan terpampang di ‘Wall’ rakan-rakan anda baik muslim mahupun bukan muslim.

(g) Jika kelapangan, gunakan aplikasi 'Chat' di bahagian bawah sebelah kanan page anda atas tujuan bertegur sapa dan bertanya khabar. Ini salah satu cara kita mendekati mereka. Jangan terus berbicara persoalan-persoalan berat, mulakan dengan berbasa basi.

(h) Cadangan di atas hanyalah beberapa aplikasi sedia ada yang kerap digunakan. Anda boleh cuba jadi sekreatif mungkin dalam menggunakan aplikasi-aplikasi lain.

7. Teruskan menjalin hubungan baik dengan semua kenalan anda. Perkongsian idea melalui ‘discusion board’ mampu untuk bertukar-tukar pandangan agar semua persoalan tentang Islam dapat dijawab dengan lancar dan tepat sekaligus merungkai salah faham mereka (yang bukan muslim). Contoh jika wujud topik seperti ‘Misconception in Islam’ dan sebagainya.

Akhir kata, Rasulullah Sallahu’alihi Wa Sallam bersabda: “Tidak akan berganjak dua tapak kaki manusia pada hari kiamat sehingga dia disoal tentang empat perkara. Mengenai umurnya, ke manakah dihabiskan umurnya? Mengenai ilmunya, apakah yang sudah dilakukan dengan ilmunya? Mengenai hartanya, dari sumber manakah dia perolehi dan ke jalan manakah dia belanjakan? Dan tentang tubuh badannya, apakah yang telah dia lakukan?” [Hadith diriwayatkan oleh Tirmidzi]

Dicopy paste drpd
www.ibnyusof. blogspot. com
yang dipos dalam fcr_alumni Yahoo Group

Tuesday, June 2, 2009

Dimensi Waktu Yang Kosong



Minggu ini tiada kelas. Masa terlalu kosong sehingga menimbulkan rasa bosan. Bosan itu mengundang maksiat jika tidak diisi dengan perkara berfaedah. Ramai rakan yang pulang ke kampung dan balik ke rumah masing-masing. Masa yang tidak diisi mengundang bahaya, juga mengundang maksiat. Maksiat yang dilakukan ada kalanya tidak kita sedari, dan lama-kelamaan ia beransur-ansur menjadi kebiasaan.

Masa itu setajam pedang, jika kamu tidak memotongnya ia akan memotong kamu!
Hujung minggu lepas memang terisi dengan banyak aktiviti berfaedah. Hari Sabtu aku sempat ke Seminar Krisis Murtad yang diadakan di Masjid Negeri Selangor. Tiga aktiviti bertembung pada waktu yang sama. Pertama menziarahi rumah arwah rakan yang baru meninggal dunia minggu lepas (semoga Allah merahmatinya), kedua, menghadiri program follow up FCR, dan ketiga menghadiri seminar krisis murtad. Sebagai manusia, hanya satu benda yang boleh dilakukan dalam satu masa. Dan aku memilih untuk ke seminar krisis murtad walaupun hati ingin benar untuk pergi ke program follow up FCR. Pembentangan kali ini lebih detail dan lebih berisi berkenaan Christianity. Tapi Allah menentukan aku untuk ke seminar tersebut. Alhamdulillah, banyak ilmu yang dapat diperoleh. Pembentang kertas kerja juga terdiri daripada mereka yang pakar dalam ilmu perbandingan agama. Dr. Riduan Tee Abdullah, Ust Nicholas Sylvester, Ustaz Fitri Abdullah dan lain-lain ulama daripada Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

Aktiviti yang bertembung itu sebenarnya rahmat dari Allah s.w.t. Supaya masa kita terisi dengan bermanfaat dan tidak disia-siakan.

Dimensi waktu yang kosong memudahkan nafsu dan syaitan bekerja menggoda manusia. Aku memang tidak terkecuali. Waktu dihabiskan dengan sia-sia padahal buku-buku di rak besi banyak lagi yang belum dikhatamkan. Apatah lagi hasrat hati untuk membelek dan mengkaji Al-Quran.Buku-buku yang berbentuk pdf di dalam laptop masih banyak yang belum terusik. Astaghfirullah! Sungguh aku seorang hamba yang lupa pada Rabbnya!


Melihat kembali ilmuan-ilmuan Islam terdahulu, mereka sangat mencintai ilmu. Ilmu tidak mencari mereka, tetapi mereka sanggup bermusafir bertahun-tahun semata-mata kerana mencari ilmu. Tpi aku?

Semoga kita semua berada dalam rahmat Allah s.w.t

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...