Sunday, April 26, 2009

Fikir Itu Perlu Dicetuskan!

“ Kenapa budak-budak ni suka lagu rock kapak? Bukannya best pun. Baik dengar lagu lain lagi bagus. ” Kata seorang kawan.

“ Betul tu. ” Tambah seorang lagi kawan sambil mengangguk setuju.

Aku hanya diam. Tersenyum sekejap sambil mendengar perbualan mereka semasa menunggu giliran mendapat makanan yang telah dipesan di kafe kolej.

“ Lain orang lain citarasa. ” Jawab aku ringkas sambil tersenyum.

“ Betul tu. Aku memang setuju. Kau ni peminat lagu rock kapak ke? ” Tanya roommate aku mengaharapkan kepastian.

“ Tak minat. Tapi aku nak bagitau satu citarasa kita wajib sama. Tak boleh lain. ”
“ Fikirkan sendiri. ” Jawabku ringkas sambil tersenyum.

“ Ape benda tu? Aku bukannya suka kau bagi hint macam ni. Straight to the point la kan senang.”

“ Aku tau kau tak suka aku bagi hint macam ni. Tapi kan dah banyak kali aku buat macam ni. Cuba fikir.”Jawab aku yang masih cuba menyuruhnya berfikir.
Aku mula mengatur kembali bicara.

“ Fikir itu perlu. Fikir itulah yang akan menghubungkan manusia dengan pencipta. Sesuatu itu bermula daripada sifat ingin tahu, dan akan mencetuskan fikir. Fikir ini akan menambahkan keimanan kepada Allah. Sebab tu lah fikir itu perlu bergabung dengan zikir.”

Keadaan senyap sekejap. Beberapa saat. Barangkali sedang berfikir agaknya.

Fikir itulah akan membawa kita kepada Allah. Berfikir tentang kebesaran Allah, bukannya zat Allah. Berfikir tentang ciptaan Allah akan menyebabkan kita rasa bersyukur dan menghargai segala nikmat yan diberi oleh Allah s.w.t. kepada kita.
Berkat fikir Rasulullah s.a.w. terhadap ummatnya, Islam tersebar ke seluruh dunia. Baginda hanya berdakwah di tanah arab, tapi berkat fikir Baginda terhadap umat, Islam tersebar hingga ke nusantara. Hinggakan semasa ingin menghembuskan nafas yang terakhir sekalipun Baginda masih memikirkan tentang ummatnya.

Mulianya ummat Muhammad adalah kerana mereka mempunyai sesuatu yang amat berharga yang tidaka diberikan kepada umat terdahulu. Dakwah. Setiap umat Muhammad wajib melaksanakan dakwah tanpa mengira usia, pangkat, harta, bangsa, warna kulit ataupun kuasa. Kita mungkin tak mampu untuk berdakwah di seluruh dunia, tapi kita mampu berfikir. Berfikir bagaimana cara seluruh penduduk dunia boleh mengakui tiada ilah selain Allah. Berfikir bagaimanakah semua penduduk dunia boleh mendapat hidayah Allah.

Fikir Kehebatan Allah

Ramai saintis Barat telah mengakui kehebatan dan kebenaran Islam hingga Allah telah member hidayah Islam kepada mereka. Mereka adalah daripada golongan yang berfikir. Mereka mengkaji tentang sesuatu, kemudian mereka memjumpai hakikat ketuhanan sebenar d dalamnya. Contohnya Dr. Masaru Emoto, seorang saintis Jepun memeluk Islam selepas dia mengkaji mengenai struktur air zam-zam. Dia dapati struktur air zam-zam ini amat berbeza berbanding struktur air biasa. Lebih teguh dan tapi boleh berubah bentuk jika dibacakan sesuatu kepadanya. Air yang mempunyai kandungan mineral dan zat yang paling tinggi. Dia adalah daripada golongan yang berfikir.

Kehebatan Allah itu akan ditemui dalam sains. Al-Quran itu tidak akan bercanggah dengan sains. Telah banyak fakta-fakta Al-Quran yang telah berjaya dibuktikan melalui sains. Semakin banyak kita berfikir, semakin rapat kita dengan Allah, semakin kita sedar betapa kerdilnya kita sebagai hambaNya.

Fikir Umat?

Umat Islam sekarang berada dalam keadaan menderita. Masalah utama bukan kerana mereka ini miskin, bukan kerana mereka ini susah, tapi kerana masalah iman mereka. Sebab itulah kita kena berfikir mengenai umat Islam di seluruh dunia. Bagaimana iman mereka? Masih mampukah mereka mempertahankan akidah mereka?

Sebenarnya kita telah salah konsep. Bagaimana kita nak terapkan pemerintahan Islam jika kembali kepada Islam belum menjadi isu utama kita? Isu kita hanyalah boikot, demonstrasi dengan pelbagai slogan. Tapi malamnya adakah kita merintih di hadapan Allah s.w.t. supaya kemenangan kembali kepada Islam? Supaya iman terbentuk di hati setiap umat Islam?

Inilah yang menyebabkan kita lemah. Saya tidak mengatakan demo itu tak penting, boikot itu tak penting, malah setakat ini saya masih boikot. Masih tak makan Mc’D dengan KFC walaupun dah banyak kali diajak oleh rakan. Dua-dua penting. Tapi adakah dengan itu kita rasa usaha kita telah cukup?

Di Malaysia yang dikenali sebagai Negara Islam, sudah berpuluh ribu yang murtad. Dan mereka kebanyakannya anak melayu. Ini semua salah kita. Kita tidak mendekati mereka, tidak berdakwah kepada mereka. Kita asyik dengan perkara dunia hingga lupa kerja sebenar kita. Agama itu bukan hanya amalan, tapi ia adalah dakwah! Dan dakwah itu perlu disampaikan. Dan dakwah itu pekerjaan sebenar kita. Maksud hidup kita di dunia.

Bagi sesiapa yang membaca, tolong fikirkan perkara ini dengan mendalam. Jangan kita asyik menyalahkan orang, tapi salahkan diri kita. Kita terlalu lemah. Usah memandang mereka yang membuat maksiat (tak kira kecil atau besar) itu bersalah dan menyebabkan kita mengutuk mereka, meminggiekan mereka, tapi berusahalah membawa mereka ke jalan yang benar. Bukan kita yang menentukan baik buruk kehidupan seseorang, tapi Allah. Jadi, apa hak kita untuk menghukum mereka?

Diri ini punya sejuta kelemahan. Hanya insan biasa yang tak punya harta, kuasa, dan segalanya. Diri ini masih jauh dalam kembara mencari RabbNya. Tapi diri ini berharap kita semua dapat kembali kepada Islam. Kerana Islam itu maksud hidup kita di dunia.

p/s: Maaf jika tulisan saya terlalu tajam. Saya teremotional sikit kali ini.
End Credit…Keredhaan

Wednesday, April 8, 2009

Fajar Islam Di Benua Eropah

Benua Eropah yang menjadi antara lubuk sentimen Islamfobia yang dihangatkan lagi dengan rentetan cubaan serangan terbaru di Britain, baru-baru ini, sebaliknya semakin diterangi sinar Islam menerusi projek pembinaan beratus-ratus masjid baru. Setakat ini, di Britain saja ada sebanyak 1,500 masjid manakala 10 di Perancis, lapan di Sweden, empat di Hungary dan dua di Russia termasuk Masjid Qolsharif di Tatarstan yang menjadi masjid terbesar Eropah pada masa ini.

Projek pembinaan masjid baru dari Jerman ke Sepanyol dan Britain, sekaligus membuktikan keberanian masyarakat Muslim menonjolkan identiti sebenar mereka, tanpa perlu rasa takut mahu pun terancam dengan perkembangan di sekeliling mereka. Lebih menarik, jika dulu mereka terpaksa secara rahsia menunaikan solat di bilik gelap di bahagian paling bawah bangunan kerana bimbang dicemuh, keadaan sekarang sebaliknya. Mereka yang kebanyakannya golongan pendatang dari Turki dan Afrika Timur, bukan setakat berani keluar masuk masjid, malah bekerjasama mengumpul dana dan bersatu hati menghadapi sebarang dugaan bagi memastikan masjid yang diingini dapat menjadi satu realiti.


Malah, seperti dilaporkan media Barat baru-baru ini, kehadiran kubah masjid terbesar di Jerman misalnya, semakin menenggelamkan menara gereja – petunjuk keyakinan baru ke atas Islam ketika gereja pula semakin terbiar di negara Eropah itu.
Di Jerman saja, sehingga 184 masjid baru kini dalam proses pembinaan termasuk di daerah Kreuzberg, Berlin. Keadaan jauh berbeza jika dibandingkan bertahun-tahun lalu apabila 180 rahib kumpulan Katolik Sisters of the Divine Savior diibaratkan sebagai nadi di bandar itu. Malangnya, hari ini mereka cuma tinggal 8 orang. Setiap minggu, purata 150 penganut Roman Katolik menghadiri perhimpunan di Gereja Liebfrauen berbanding kira-kira 3,000 Muslim memenuhi Masjid Yavuz-Sultan-Selim. Sejak pembukaannya pada 1995, kehadiran kedai dan pusat belia Muslim menjadi ‘besi berani’ bagi kalangan penduduk Islam.

Di sekitar Eropah, Islam yang juga agama paling pesat berkembang, semakin ketara dan jelas kewujudannya berbanding satu ketika dulu apabila ia diamalkan secara senyap-senyap. Perubahannya bukan menyentuh aspek seni bina pada bandarnya, tetapi juga nilai sosial masyarakat setempat. Dalam apa dirujuk sebagai lambang integrasi Muslim, fenomena kemunculan ketara Islam ini turut dilihat sebagai bukti yang dunia Islam jelas mengancam budaya Kristian Eropah.

“Masyarakat Muslim sudah berani keluar menonjolkan diri mereka yang sebenarnya,” kata Claus Leggewie, pakar Sains Politik Universiti Giessen, Jerman.
Kenyataannya itu berdasarkan kajiannya mengenai evolusi landskap dan binaan masjid di Jerman.

“Menerusi projek pembinaan masjid yang besar sedemikian, mesej yang mahu disampaikan (umat Islam) adalah kami di sini. Kami mahu menjadi sebahagian landskap simbolik Jerman. Kami ada di sini dan akan terus kekal di Jerman,” kata Leggewie.


Pembinaan masjid besar dari Cologne, Jerman sehingga ke Amsterdam (Belanda) dan Seville, Sepanyol, berdepan bantahan keras penduduk dan pemimpin tempatan yang mendakwa ia lubuk menghasilkan pengganas. Lebih menyedihkan, apabila ada kalangan umat Islam yang meragui pembinaan masjid itu. Ini dibuktikan dengan kenyataan ahli keluarga dua suspek keganasan di Glasgow, Scotland yang mendakwa suspek itu dilatih menjadi radikal oleh kumpulan pendakwah Tablighi Jamaat (Jemaah Tabligh) – kumpulan sama yang sedang hebat memperjuangkan hak bagi pembinaan kompleks Masjid Besar London di tanah seluas 18 ekar. Malah, pembinaannya berhampiran stadium Olimpik 2012, juga bakal mencatat sejarah sebagai masjid terbesar Eropah.

Kewujudan bangunan seumpamanya jelas berbeza daripada ruang bawah tanah gelap dan kecil yang menjadi tempat jemaah seperti Halif Kuzpinar menunaikan solat Jumaat, sejak 33 tahun lalu selepas dia berhijrah dari Turki ke kawasan di Frankfurt, Jerman. Siapa sangka, pergerakan Islam yang dianggotainya itu dapat membeli sebuah pasar raya di penempatan bandar Wiesbaden, di tengah Jerman.

“Di sini ada tempat letak kereta, pusat kanak-kanak dan untuk golongan belia. Kami mahu mewujudkan pusat setempat bagi membolehkan orang ramai melihat apa yang sebenarnya kami lakukan di sini,” kata Kuzpinar.

Berikutan kewujudan tempatnya sendiri, Mili Gorus – sebuah pertubuhan hak asasi Islam Turki yang dipantau kerajaan Jerman, mahu memiliki sesuatu yang tidak pernah dikecapinya iaitu pengiktirafan rakyat di negara yang sudah menjadi tanah air mereka.
Namun, usaha murni itu berdepan bantahan keras. “Ia sepatutnya dijual sebagai sebuah pasar raya, bukannya masjid,” kata Wolfgang Kopp, pemilik pangsapuri di seberang premis itu.

Beliau bersama jiran lain, berjaya menghalang usaha menjadikan bangunan pasar raya itu kepada masjid, tetapi hanya untuk sementara waktu. Ini disebabkan, Perlembagaan Jerman jelas menyatakan semua agama boleh memiliki tempat ibadatnya sendiri. Sejak menjejakkan kaki di Jerman, golongan pendatang seperti Kuzpinar, terpaksa bersolat di bilik gelap yang menjadi simbol kegelapan masyarakat Islam yang tersepit di antara kebebasan mengamalkan agama serta budaya masyarakat setempat di negara yang menjadi tanah air mereka.

Kini, generasi ketiga yang semakin berjaya, saling berusaha dalam projek pembinaan masjid yang lengkap dengan menara. Jika 10 tahun lalu cuma wujud sebilangan kecil saja masjid, Jerman kini menyaksikan 159 masjid manakala 184 projek pembinaan masjid baru, mengikut Institut Arkib Islam Jerman.

Aachen, bandar Jerman yang didiami 257,000 penduduk di sempadan Belgium dan 9 peratus masyarakatnya beragama Islam, baru saja memberi kelulusan pembinaan masjid besar.

“Ia petanda yang masyarakat Muslim menjadi sebahagian anggota penting masyarakat,” kata Datuk Bandarnya, Jurgen Linden.

Kata-katanya terbukti benar apabila Islam yang ingin ditonjolkan sebagai agama pengganas, sebaliknya semakin hari semakin mendapat tempat di hati ramai anggota masyarakat – tanpa perlu kempen besar-besaran mahupun mencela agama lain yang sudah bertapak kukuh di negara Eropah terbabit.

Hasil kerjasama dan kesabaran di kalangan Muslim sudah cukup menjadi bukti keagungan Islam sebagai agama keamanan dan kemunculan kubah masjid mengatasi menara gereja di Jerman hanyalah antara permulaan awal kebangkitan sinar Islam di bumi Eropah.

Moga Al-Hambra kembali bersinar di benua Eropah...

Friday, April 3, 2009

Kemahiran Analogi Dalam Dakwah

Analogi. Setiap bahasa di dunia mempunyai analogi. Analogi digunakan untuk menggambarkan sesuatu, juga digunakan untuk menjelaskan sesuatu. Begitu juga dalam Dakwah. Kemahiran analogi sangat penting. Analogi memudahkan sesuatu penyampaian isi dan memberikan penerangan secara jelas tentang sesuatu, khususnya perkara yang berkaitan Islam. Artikel saya sebelum ini yang bertajuk kisah cawan juga menggunakan kemahiran analogi.


Analogi mencetuskan kita untuk berfikir secara mendalam, menghayati sesuatu dan mencari kebenaran di sebalik sesuatu itu. Oleh sebab itulah teknik ini antara teknik yang paling berkesan dalam menyampaikan dakwah.

Saya bagi beberapa contoh analogi yang biasa kita dengar:

1. Seorang non-muslim bertanya: “ Kamu menyembah tuhan kamu, tetapi kamu tidak boleh melihatnya. Jadi mengapa kamu menyembah sesuatu yang kamu tidak dapat lihat?”

2. Seorang Islam yang miskin, dan berasa hidupnya tidak adil berkata: “ Allah itu tidak adil, mengapa Allah menjadikan aku miskin padahal orang lain hidup bermewah-mewahan dan kaya-raya?”




Ini adalah dua contoh soalan yang biasa saya dengar biasa dipersoalkan. Dalam menjawab soalan-soalan seperti ini, kemahiran analogi boleh digunakan. Tapi fikirkan analogi terbaik yang dapat difahami mesejnya oleh mereka yang bertanya.

Mengapa kita menyembah Allah sedangkan kita tidak boleh melihatNya? Di sini kita boleh menggunakan kemahiran analogi. Setiap manusia mempunyai akal. Tetapi adakah kita dapat melihat akal kita tanpa kita menggunakan bantuan orang lain? (Maksud saya tanpa pembedahan dan yang sama waktu dengannya). Tentunya kita tak mampu melihatnya. Tapi kita dapat merasainya bukan? Analogi lain yang boleh kita ambil ialah perasaan. Perasaan itu wujud daripada hati kita. Kita tahu di mana hati kita, tapi kita tidak tahu di mana perasaan kita. Tapi kita boleh merasainya bukan? Begitu juga dengan Allah. Kita tidak dapat melihatNYa, tapi kita dapat merasai dan melihat tanda-tanda kebesaran Allah.

Itu salah satu contoh daripada beribu-ribu contoh. Tentang soalan yang kedua, kita juga boleh menggunakan teknik analogi, tapi dengan penggunaan yang agak berbeza sedikit. Apabila kita ditanya orang, cuba kita mencipta satu soalan dan bertanya balik kepada orang yang bertanya. Ini bukan bermaksud kita mahu menukar topik, tapi kita hanya mahu membuat orang yang bertanya berfikir sejenak.

Contohnya soalan yang kedua. Adakah Allah itu tidak adil kepada hambaNya? Kita bertanya balik dan mencipta satu situasi:

“ Kalau semua orang di dunia ni ada duit sebanyak 10 juta, siapakah yang akan menanam padi dan membuat bangunan?”

Orang yang bertanya itu mungkin menjawab: “ Senang je. Kita upah la orang lain. Suruh dia tanam padi. Pastu kita bayar la kat dia.”

Masalah sekarang ialah semua orang mempunyai kekayaan yang sama. Kalau si Ali menyuruh Pak Mat menanam padi, Pak Mat tidak mungkin ingin melakukan kerja yang berat. Pak Mat bukannya miskin. Dia pun ada duit sebanyak 10 juta. Jadi, kalau keadaan ini berterusan, siapakah yang akan memenuhi segala keperluan manusia di muka bumi? Semua orang mempunyai kekayaan yang sama, toada siapa pun yang miskin.

Allah itu Maha Adil. Allah menciptakan manusia sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri. Yang kaya perlu embantu yang miskin, bukannya menghabiskan kekayaan yang diberi Allah hanya untuk kemewahan hidup mereka. Sebab itu adanya zakat dalam Islam.
Terdapat banyak lagi contoh analogi lain yang boleh kita gunakan semasa berdakwah. Saya memang amat suka ustaz menjawab soalan dengan menggunakan kaedah ini. Selepas itu barulah ustaz akan menghuraikan jawapan dengan menggunakan dalil daripada Al-Quran dan Hadith.


Gambar hiasan: Istama Kesultanan Melayu Melaka
Saya suka menggunakan analogi “membina istana” apabila bercakap tentang bagaimana kita ingin mengembalikan Islam ke zaman kegemilangannya. Islam itu tidak akan dapat menguasai dunia sekiranya kita tidak mengikut flow seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Untuk membina sebuah istana yang besar dan indah, asas binaannya adalah batu-bata, simen dan tiang. Jika asasnya kukuh, maka kukuhlah istana itu. Tapi jika asasnya rapuh, istana akan runtuh dan cepat rosak. Begitu juga dengan umat Islam. Asas kita adalah iman. Jika mantap iman umat Islam, maka Islam akan kembali mencapai zaman kegemilangannya seperti dulu.


Jadi, pelbagaikan teknik dakwah kita. Saya pun masih lemah dan masih perlu pelbagai pendedahan. Dakwah itu lebih berkesan jika kita punya ilmu dan pandai menjawab soalan yang ditanya. Tapi kita harus akui bahawa kita sebagai manusia hanya mampu berusaha, yang member hidayah kepada seseorang itu hanya Allah s.w.t. Tapi dakwah yang paling berkesan adalah seperti mana cara Rasulullah s.a.w.


End Credit….Keredhaan
12.37 a.m. 4 April 2009

Thursday, April 2, 2009

Benar, Hidayah Itu Milik Allah


Minggu lepas saya sempat ke sebuah masjid. Masjid yang mana pada pandangan saya masjid yang paling indah di Malaysia.Terletak di pinggiran Kuala Lumpur yang penuh dengan noda..tetapi ia bagaikan menghidupkan suasana bandar itu dengan suasana keagamaan, menghapuskan kekotoran-kekotoran yang telah dilakukan oleh tangan manusia. Indah masjid ini bukan pada ukirannya, bukan pada keindahan seni binanya, dan bukan pada keluasan kawasan persekitarannya. Tetapi indah masjid ini indahnya pada amalannya; amalan yang hidup 24 jam dalam sehari, seperti mana amalan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Amalan yang memang sukar untuk dilihat di mana-mana masjid di Malaysia, apatah lagi Masjid Putrajaya.

Semasa keluar dari masjid, saya pergi ke kedai-kedai yang menjual pelbagai peralatan agama di perkarangan masjid. Niat hati nak beli buku agama barang sebuah dua. Masa tengah jalan-jalan kat kedai, ada seseorang menyapa saya.

“ Assalamualaikum. ” Terdengar suara memberi salam kepada saya.

“ Waalaikumussalam. “ Saya menjawab dengan nada terkejut. Terkejut kerana tidak percaya orang yang berada di depan saya.

“ Ape kabar abe? Duk mano lo ni? “ Dia terus menyambung perbualan kami. Dialek kelatenya macam biasalah. Kerana kami memang orang Kelantan.

“ Alhamdulillah sihat. Alllahuakbar. Sungguh, Hidayah Allah itu sangat luas “ Ucap saya seperti masih belum percaya melihat orang yang berada di depan saya itu.


Dia tergelak seketika. Barangkali ada yang lucu agaknya. Saya masih seperti tadi, antara keadaan percaya dan tidak percaya. Orang yang dahulunya dikenali kerana etika dan akhlaknya yang teruk di sekolah berada di depan saya, memakai kopiah, dan sama-sama beriktikaf di masjid. Usianya muda dua tahun daripada saya. Semasa form 5, dia baru form 3. Masa form 4, dia antara adik-adik usrah saya di sekolah dahulu. Dia memang terkenal. Tapi terkenal bukan kerana kebaikan, tetapi kerana sebaliknya. Rasanya tak perlulah saya tulis siapa dia. Cukuplah sekadar menceritakan peristiwa yang berlaku sebagai pengajaran.

Kami terus menyambung perbualan yang terhenti seketika. Perbualan lebih menjurus kepada tempat belajar masing-masing. Namun saya tak henti-henti berkata bahawa ini adalah hidayah Allah. Dia masih tergelak. Tak tahu apa yang lucu baginya apabila saya berkata ini adalah hidayah Allah.

Lebih kurang lima minit berlalu. Dia pun Nampak agak tergesa-gesa kerana apa perkara lain yang perlu diuruskan. Saya member salam dan mengundur dir. Dalam hati tak berhenti berkata bahawa ini adalah hidayah Allah. Benar, sekiranya Allah mengkehendakinya seseorang itu beroleh kebaikan, nescaya Allah akan memberinya walaupun ia kepada seorang penzina dan pembunuh sekalipun.

Jadi, sebagai manusia yang mangaku Islam, berbaik sangkalah kita sesama saudara seagama kita. Bukan kita yang menentukan sama ada seseorang itu masuk syurga atau neraka, tetapi Allah yang menentukannya. Hati manusia ini boleh dibolak-balikkan oleh Allah sekejap sahaja. Buanglah sikap kita yang sentiasa menghukum seseorang. Contohnya kita melihat orang yang meminum arak, lalu kita terus membuat kesimpulan bahawa dia akan ke neraka. Ingat, hidayah itu milik Allah s.w.t. Sepatutnya sebagai saudara mereka, kita perlu mendampingi mereka dan membimbing mereka kearah jalan yang diredhai Allah. Kepada para pendakwah, sifat husnudzon itu amat penting. Bersangka baiklah terhadap saudara seagama kita, bukannya terus menghukum mereka. Kita bukannya tuhan untuk menghukum mereka. Kita cuma makhluk Allah yang mana nasib kita di akhirat kita sendiri tidak mengetahuinya.


Moga sama-sama kita dapat amalkan…InsyaAllah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...